RESIPI KEK MARBLE TRIO

Assalammualaikum, salam semua. Hari ni 8 January 2020 kan. Errr, sajalah nak kasi tau, hari ni che mat menyambut ulang tahun kelahiran yang ke 44 (sebenarnya 21 😜). Alhamdulillah, diberi kesempatan menempuh penambahan usia setahun lagi. Harapan che mat moga Allah swt beri kesihatan agar dapat terus berbakti pada satu2nya insan keramat yang che mat ada dalam dunia ni, iaitu Mak che mat. Hari ni juga che mat menerima kunjungan ukwah dari teman blogger yang telah lama menjadi sahabat, kurang lebih 10 tahun. Kalau yang biasa ikut perkembangan blog che mat, pasti semua kenal blogger Sis Linn, terima kasih Linn, sudi datang. Tak lupa pada semua yang memberi ucapan di FB, IG dan Wassap, jutaan terima kasih atas ingatan dan doa2 kalian. Moga kita semua diberi keberkatan dan kesejahteraan dunia dan akhirat...aminn... Ok, meh cerita pasal entri hari ni pulak, kesah kek lagend yang sering che mat bikin. Kek marble trio yang lembut, lembap, lemak dan wangi. Ini antara ke yang paling kerap che mat buat dan tidak menjemukan. 

Kek marble trio boleh dikatakan kek yang versatile. Nak buat plain buttercake pun boleh, atau kek marble biasa (belang coklat) atau nak meriah sikit boleh tambah perisa stroberi, macam kek che mat tu. Maka jadilah kek marble trio. Adunan kosong tu boleh juga kalau ditambah jus oren dan parutan kulit oren, agar rasanya lebih harum dan eksotik. Adunan kek ni sesuai untuk tin berukuran 8 x 8 x 3 inci atau boleh juga kita buat dalam acuan berlubang tengah (bundt pan). Jika guna acuan bundt pan, sila lenser atau oles dengan mentega ada setiap ruang dalamnya, nak2 kalau acuan yang kita guna mempunyai corak tertentu. Kek ini biasanya selepas siap dibakar, ia akan turun sedikit, jadi toksah risau dan ingat kek yang kita bikin tu tak menjadi pulak. Sedap dihidangkan suam atau nak lagi sedap simpan semalaman. Kek akan jadi lebih lembap dan harum. Jika nak mencuba, boleh semak resipi di bawah ini..

BAHAN-BAHANNYA :-)
300 gram mentega
280 gram tepung gandum*
1 camca besar penuh susu tepung*
1 camca teh rata baking powder*(*disatukan, gaul rata dan diayak)
5 biji telur gred A
1 camca besar ovallate
150 gram gula pasir
2 camca besar gliserin
2 camca besar air
1 camca besar serbuk koko*
3 camca besar air panas*(*disatukan dan kacau sebati)
1 camca teh stroberi emulco
1 camca teh esen vanilla

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Panaskan oven pada suhu 170C. Lenser tin berukuran 8 x 8 x 3 inci dengan mentega dan alas dasar tin dengan kertas minyak. Lenser juga kertas tadi. Kalau guna acuan berlubang tengah atau bundt pan, pastikan dioles dengan mentega rata2 di bahagian dalamnya. Ketepikan.
  2. Putar mentega hingga kembang dan berkrim pada kelajuan tinggi. Perlahankan kelajuan dan masukkan tepung yang telah diayak sedikit demi sedikit dan putar hingga sebati. Ketepikan.
  3. Dengan menggunakan mangkuk pengadun yang bersih dan kering, putar gula, telur dan ovallate hingga kembang dan pekat seperti adunan kuih baulu. Perlahanlan kelajuan, dan masukkan adunan mentega sedikit demi sedikit hingga habis. Tambah gliserin dan air, putar hingga rata.
  4. Bahagikan adunan kepada 3 bahagian sama banyak. Satu bahagian dimasukkan esen vanilla dan kacau rata. Satu lagi diberi bancuhan serbuk koko dan kacau rata. Dan yang satu lagi, dimasukkan stroberi emulco, jika kurang merah, boleh tambah setitik dua pewarna merah makanan dan kacau hingga rata.
  5. Sediakan tin atau acuan. Masukkan 2 camca besar adunan kosong, kemudian 2 camca besar adunan koko di atasnya. Dan 2 camca besar adunan stroberi. Buat berselang seli hingga kesemua adunan habis digunakan. Jika guna acuan bundt pan, mulakan dari satu bahagian saja, selang selikan warna adunan dan biarkan adunan memenuhi ruang secara semulajadi. Goyang2kan sedikit agar rata.
  6. Bakar dalam oven yang telah dipanaskan tadi. Bakar 45 minit atau hingga kek masak. Uji kek dengan mencucuk bahagian tengahnya dengan lidi sate bersih, jika keluarkan bersih dan licin, tanda kek dah masak. Keluarkan acuan dari oven, biarkan sekejap dan boleh keluarkan kek dari acuan. Sejukkan sepenuhnya di atas jaringan. Siap untuk dihidangkan, sedap wakkk! Selamat mencuba...

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "RESIPI KEK MARBLE TRIO"

Posting Komentar