Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat bikin kacang pool. Mungkin sejak2 akhir ini makanan orang Johor yang dipengaruhi budaya arab, semakin popular di Malaysia, bila banyak restoran2 mula mengidangkan kacang pool sebagai salah satu menu mereka. Kacang pool sejenis hidangan pencecah untuk roti dan biasanya menggunakan daging lembu atau kambing sebagai rencahnya (boleh juga guna isi ayam bagi yang tak makan lembu atau kambing). Kacang pool mendapat namanya dari sejenis kacang yang digunakan dalam hidangan ini, iaitu ful medames atau orang melayu panggil kacang parang. Che mat biasa gunakan kacang pool dalam tin jenama Kimball seperti ini. Ada juga kacang pool brand lain dijual dikedai2 arab, tapi rasa dia agak masin dan che mat kurang gemar. Senang cakap, tak sedap...
Selain itu, che mat masukkan juga setin kacang merah dan setin baked beans, yang ni terpulang pada masing2, tapi kalau kita campurkan kedua2 jenis kacang ni, rasa kacang pool lagi sedap. Orang berniaga mungkin dia orang nak jimatkan kos, jadi takdelah nak taruk baked beans dan kacang merah. Kita bikin sendiri kat rumah tak kesahlah, lebih modal sikit janji sedap dan puas hati, yea dak. Resipi kali ni che mat guna corned mutton atau corned kambing brand PAWADA (seperti gambar bawah ni, che mat beli di MyDin). Jika susah nak dapat, boleh gantikan dengan daging kambing segar yang dicincang. Tapi corned kambing ni mudah digunakan dan rasa dia juga sedap, apatah lagi bila kita campurkan dalam kacang pool. Pastikan roti guna roti paun, atau roti perancis, kalau rajin roti tu, sapu kan dengan sedikit mentega atau majerin, kendian panggang atas kuali. Hidangkan kacang pool, sesuai untuk sarapan pagi atau minun petang, Ehh, tak kisah lah bila2 masa pun ok kita nak dihidangkan, malam pun boleh kalau lapar...Asyik bercerita ajer, jomm kita semak resipi...
Corned Kambing
BAHAN-BAHANNYA :-)
1 tin Corned Kambing (340 gram)
1 tin kacang pool (ful medames, brand kimball)
1 tin kacang merah
1 tin besar baked beans
2 camca besar rempah kari daging Baba's
1 camca besar ketumbar serbuk
1 camca besar lada hitam, tumbuk halus
2 camca besar sos tomato
1 camca besar penuh minyak sapi
1 pokok daun ketumbar, hiris
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya
BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
8 biji bawang merah kecil
3 ulas bawang putih
2 inci halia
BAHAN-BAHAN SAMPINGAN :-)
Roti paun atau roti perancis secukupnya
Telur, digoreng telur mata, secukupnya
Hirisan cili hijau
Tomato, didadu
Bawang besar, didadu
Limau kasturi secukupnya, dibelah 2 setiap 1
Minyak sapi, dicairkan
Hirisan daun ketumbar, untuk hiasan
CARA MEMBUATNYA
- Keluarkan corned kambing dari tinnya dan lecek hancur dengan garfu. Kacang pool diramas hancur, tak perlu sampai halus. Toskan kacang merah, buang airnya. Rempah kari daging dan ketumbar serbuk disatukan, bancuh dengan sedikit air dan kacau hingga menjadi pes rempah. Ketepikan.
- Panaskan minyak dalam periuk, anggaran 1/3 cawan. Masukkan sesudu besar minyak sapi dan biar hingga minyak sapi cair. Tumis bahan2 kisar halus hingga harum, masukkan lada hitam dan masak hingga naik minyak. Tambah pes rempah, kacau dan masak hingga rempah garing. Tambah sos tomato dan kacau rata.
- Masukkan corned kambing yang telah dihancurkan tadi, kacau dan masak dengan api sederhana selama 10 minit. Kacau sentiasa agar tidak hangus. Masukkan kacang pool yang diramas tadi (masukkan dengan airnya sekali), kacang merah dan baked beans, kacau dan tuang air secukupnya, anggaran 5 cawan. Masak hingga mendidih.
- Sederhanakan api dan masak hingga pekat sedikit. Perasakan dengan garam secukup rasa dan sedikit gula. Masak sekejap dan akhir sekali masukkan hirisan daun ketumbar, kacau dan boleh matikan api. Tutup periuk agar aroma daun ketumbar mesra dengan masakan.
- UNTUK MENGHIDANG :- Cedok kacang pool secukupnya ke dalam bekas sesuai, seelok2nya satu bekas untuk satu hidangan. Letakkan sekeping telur mata, hias dengan tomato, bawang besar, cili hijau dan daun ketumbar yang dihiris. Tuangkan sedikit minyak sapi atasnya dan perahkan jus limau kasturi sebelum dihidangkan dengan roti paun atau roti perancis...Selamat mencuba!.
0 Response to "RESIPI KACANG POOL KAMBING"
Posting Komentar