Assalammualaikum, selamat pagi Rabu. Hari ni che mat masukkan entri awal sikit lah, sebab petang nanti ada hal lain. Pagi ni che mat goreng char kuey teow lada hitam, resipi paling senang dan agak gondol, sebab tak guna banyak bahan2. Oleh sebab stok taugeh takde, maka che mat tak letak taugeh, tapi mana yang suka tu boleh lah tambah taugeh dan kucai. Entah kenapa tiba2 rasa boring pulak nak makan char kuey teow yang biasa tu. Sekali2 kita ubah selera sikit. Resipi ni tak pedas, tapi berangin kerana penggunaan lada hitam, kalau ada kanak2, bolehlah kurangkan penggunaan lada hitam. Warna dia memang seperti dalam gambar sebab tak guna cili kisar, tapi kita masukkan kicap lemak manis, kicap cair dan sos tiram. Garam tak payah sebab kicap2 tu semua dah cukup masin. Rencah terpulang pada masing2. Nak guna ayam, udang atau sotong, semua boleh. Macam che mat cuma guna daging, yang tu pun ikut budget masing2lah yea, nak taruk banyak mana.
Seelok2nya guna daging batang pinang sebab cepat empuk, kalau guna daging biasa, che mat sarankan rebus dulu hingga daging empuk. Penggunaan traffic light capsicum (merah, hijau dan kuning) menambah seri masakan kita, selain tu rasa dia pun sedap, manis dan memang tak pedas. Untuk resipi ni che mat gunakan kurang elebih satu sudu besar lada hitam biji, tapi kalau nak gantikan dengan sos lada hitam pun boleh, cuma wangi dia tak sama kita guna lada hitam segar. Nak cuba buat tak? Kalau nak cuba, boleh semak resipi di bawah ini...
BAHAN-BAHANNYA :-)
800 gram kuey teow (kurang lebih), dileraikan
200 gram daging batang pinang, dihiris nipis, cuci dan toskan
1/4 bahagian traffic light capsicum (merah, hijau dan kuning). hiris halus
1 biji bawang holland, hiris
3 ulas bawang putih, dicincang halus
1 camca besar lada hitam biji, ditumbuk halus (boleh kurangkan)
2 camca besar penuh sos tiram
4 camca besar kicap lemak manis
2 camca besar kicap cair atau secukup rasa
1/2 camca teh minyak bijan
Sedikit hirisan daun kucai, untuk hiasan
CARA MEMBUATNYA :-)
- Panaskan minyak dalam kuali, anggaran 4 camca besar dan biarkan minyak betul2 panas. Goreng daging hingga bertukar warna,balik2kan agar masak sekata, guna api besar. Tolak daging tadi ke tepi kuali, sederhanakan api dan tumis bawang holland hingga layu, masukkan bawang putih dan masak hingga wangi, gaul rata dengan daging tadi. Tambah lada hitam, kacau rata dan masak sekejap.
- Masukkan sos tiram dan kicap lemak manis, kacau rata. Boleh masukkan traffic light capsicum, kacau dan tambah kuey teow. Besarkan api dan kacau. Masukkan kicap cair dan minyak bijan, gaul rata dan masak hingga kuey teow mesra dengan semua ramuan2nya. Rasa dan jika kurang masin boleh renjiskan sedikit lagi kicap cair. Masak sekejap dan boleh matikan api. Tabur hirisan daun kucai sebagai hiasan. Enak dimakan panas2....Selamat mencuba!
0 Response to "RESIPI CHAR KUEY TEOW LADA HITAM"
Posting Komentar