RESIPI PULUT KUNING

Assalammualaikum, salam semua. Bertemu lagi dibulan baru. Hari ni che mat bikin pulut kuning untuk melaksanakan nazar. Tiga minggu lepas mak che mat terjatuh di bilik tidur ketika nak ke bilik air pada jam 3 pagi, risau juga sebab usia dia pun dah 78 tahun, alhamdulillah tiada yang serius atau patah. Cuma kaki kanan dia sakit di bahagian lutut. Dalam tempoh selama 2 minggu, dia terpaksa menggunakan pakai lampin buang dan kalau nak bergerak terpaksa menggunakan wheel chair. Alhamdulillah dengan izin Allah swt dan doa dari rakan di media sosial, mak che mat dah beransur pulik dan boleh bergerak seperti biasa menggunakan tongkat (sebelum ni pun dia memang bergerak menggunakan tongkat). Jadi tu hari che mat ada bernazar, bila mak ok, che mat akan bikin pulut kuning sebagai tanda kesyukuran. Awal malam tadi che mat rendam pulut dan keluarkan daging untuk bikin rendang, tak lupa sambal tumis telur untuk mereka yang tak makan daging....

Pulut kuning ni che mat buat tak banyak, kurang lebih dalam sekati pulut atau 600+ gram. Dan pulut pulak jenis pulut susu, tak perlu direndam terlalu lama, che mat rendam kurang lebih 6 jam, mula rendam dalam jam 12+ malam dan lepas subuh che mat dah mula mengukus. Kali ni menggunakan pati santan segar yang beli semalam. Mak che mat suka pulut kuning yang tidak terlalu lembik dan lemak bersantan. Kalau guna santan kotak, boleh tambah satu camca besar minyak masak. Sebab santan kotak kan tak berminyak. Che mat gunakan pati santan segar, jadi tak perlu tambah minyak masak. Satu petua nak dapat rasa pulut yang sedap ialah, santan perlu terasa masin, baru pulut kuning jadi sedap dan lemak... 

Bagi yang tak makan daging, che mat bikinkan sambal tumis telur rebus, kira sesuai lah kan. Telur tu kalau suka, boleh digoreng dulu sebelum dimasukkan ke dalam sambal, atau nak lebih senang, kita campakkan ajer, tak payah goreng2, lagi seksi wakk. Boleh juga gantikan telur ayam dengan telur puyuh. Tapi kata orang, telur burung puyuh kolestrol dia maha tinggi, sebiji telur burung puyuh kandungan kolestrol dia bersamaan dengan dua biji telur ayam! Tak padan kecik, yea dak, bukan main power rangers betul kolestrol dia. Kalau sekali2 tu tak pelah, kalau selalu sangat, sendiri tanggunglah jawabnya...

Dan pelengkap utama pulut kuning ini sudah pasti rendang daging. Atau boleh juga dihidangkan dengan kari ayam atau kari daging, yang ni terpulang. Tapi che mat lebih suka rendang daging kalau makan sama pulut kuning. Resipi rendang yang ini agak senang dibuat, nak cepat gunakan daging batang pinang macam che mat guna tu. Nak pedas, tak susah, lambakkan ajer cili padi lebih2. Nak merah, pun tak susah, tambah ajer cili kisar. Satu yang penting untuk mendapat rendang yang sedap, santan kena banyak dan pekat. Kalau dah santan pekat, rendang tak perlu ditumis, nanti minyak dari santan tu akan terbit dan itu yang menjadikan rendang kita lembap, wangi dan berminyak. Entri kali ni che mat akan sertakan 3 resipi, iaitu, resipi pulut kuning, resipi sambal tumis telur rebus dan resipi rendang daging....Kalau rasa nak mencuba, jomm semak di bawah ini. Kita mulakan dengan resipi...

RESIPI PULUT KUNING...

BAHAN-BAHANNYA :-)
650 gram pulut susu
1 camca teh rata serbuk kunyit
1 keping asam gelugor
300 ml santan pekat
1 1/2 camca teh garam
2 helai daun pandan, disimpul
Air secukupnya, untuk merendam pulut

CARA MEMBUATNYA:-)

  1. Cuci beras pulut, tos dan masukkan beras pulut dalam bekas besar. Tuang air hingga beras pulut tenggelam. Masukkan serbuk kunyit dan kacau rata. Tambah asam gelugor dan biarkan terendam selama 6 jam (sebab che mat guna beras pulut susu, tak perlu rendam semalaman). Tos dan keluarkan asam gelugor tadi.
  2. Panaskan kukusan, ambik bahagian kukus yang berlubang, alas bawahnya (bahagian bawah kukus bukan bahagian dalam) dengan tudung periuk, pastikan semua lubang2 kukus tertutup. Masukkan beras pulut tadi, ratakan dan masukkan daun pandan. Perlahan2 angkat kukus berisi beras pulut dan tenggekkan atas kukusan bahagian bawah. Baki2 beras pulut yang jatuh pada tudung periuk tadi, kita masukkan ke dalam kukus. Kukus dengan api besar semalam 25 minit.
  3. Sementara itu bancuhkan pati santan dengan garam (jika guna santan kotak, tambah 1 camca besar minyak masak). Kacau rata. Keluarkan pulut dari kukusan dan masukkan ke dalam besen besar. Tuang santan tadi dan gaul hingga rata dan santan terserap bersama pulut. Masukkan kembali pulut ke dalam kukus dan sambung kukus selama 20 minit lagi atau hingga pulut jadi elok lembutnya, sekali2 balik2kan pulut tadi agar masak sekata. Boleh angkat dan hidangkan dengan rendang daging dan sambal tumis telur rebus..
RESIPI SAMBAL TELUR REBUS...

BAHAN-BAHANNYA :-)
8 biji telur rebus, kupas kulitnya dan ketepikan
1 biji bawang besar, hiris bulat dan leraikan
1 cawan cili kisar
1/2 camca besar pes asam jawa
1 camca besar gula melaka
Garam secukup rasa
Sedikit air

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
5 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
1 inci belacan
2 keping hirisan nipis halia

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam kuali, anggaran 1/4 cawan. Tumis bahan2 kisar halus hingga wangi. Masukkan cili kisar, kacau rata dan masak hingga cili garing dan naik minyak, tambah sedikit lagi minyak masak, jika perlu. Bila cili garing, boleh masukkan pes asam jawa, kacau rata dan tuang sedikit air, anggaran 1/2 cawan.
  2. Masukkan gula melaka dan perasakan dengan garam secukupnya. Kalau guna serbuk perasa, boleh masukkan sedikit. Masak hingga pekat dan masukkan bawang besar, kacau rata dan akhir sekali tambah telur rebus, kacau perlahan dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Boleh hidangkan...
RESIPI RENDANG DAGING...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1+ kg daging batang pinang, hiris sederhana tebal, cuci dan toskan
2 helai duan kunyit, dimayang halus
1/4 cawan cili kisar
1 kg santan pekat
1 keping asam gelugor
1 camca besar gula melaka
1 camca besar penuh kerisik
Garam secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
8 biji bawang merah kecil
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1/2 inci lengkuas
1/2 cawan cili padi kampung
2 inci kunyit hidup
6 batang serai, hiris halus

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Masukkan bahan2 kisar halus ke dalam kuali, tuang pati santan, kacau rata dan masak hingga terbit minyak, guna api sederhana dan kacau sekali sekala. Masukkan daging, kacau rata dan masak hingga pekat. Tambah kersik, asam gelugor dan perasakan dengan sedikit garam. Kacau rata dan biar masak dengan api sederhana.
  2. Bila rendang pekat dan hampir kering, rasa sekali lagi dan jika kurang garam, baru ditambah sedikit lagi atau secukup rasa. Akhir sekali masukkan daun kunyit yang dimayang halus, gaul rata dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan dengan pulut kuning tadi.
CATATAN MAT GEBU :- Disebabkan che mat guna daging batang pinang, maka daging dimasukkan setelah santan terbit minyak. Jika guna daging biasa, kita kecutkan dahulu daging tadi dalam kuali dengan bahan2 kisar halus. Lepas tu baru tuang pati santan dan masak seperti biasa. Kalau daging masih tak empuk, tambah sedikit air panas. Rendang untuk makan dengan pulut kuning, seelok2nya lembap dan tak terlalu kering....Selamat mencuba!

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "RESIPI PULUT KUNING"

Posting Komentar