RESIPI MI REBUS JOHOR

image-2017-09-28
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat bikin mi rebus. Asalnya nak masak mi jawa, tapi tiba2 mood berubah dari jawa ke Johor, tu yang tukar menu kepada mi rebus. Resipi boleh dikatakan mudah dan bahan paling penting untuk kuah mi rebus ialah air rebusan tulang lembu atau air rebusan daging lembu. Bahan pemekat menggunakan keledek oren (kalau tak de guna keledek biasa pun ok, kalau darurat kau belasah guna kentang pun tak dosa...boleh ajer). Biasanya kuah mi rebus sedikit manis, tapi itu semua ikut selera masing2, nak manis atau kurang manis. Che mat masukkan gula melaka dan sedikit gula pasir. Gula melaka manisnya lemak. Satu lagi kalau dapat gunakan daging tetel, iaitu daging lembu yang ada campuran lemak sebagai rencah untuk mendapat rasa kuah yang lagi terangkat...(ada juga orang bikin mi rebus ni guna daging kambing)

image-2017-09-28 (1)
Kalau ikutkan mi rebus Johor che mat ni tidak lah seratus peratus lengkap. Biasanya di Johor, mi rebus akan dihidangkan dengan tambahan gorengan tepung seperti rempeyek, menggunakan rencah udang kering. Tapi che mat kurang rajin nak buat gorengan tu, jadi guna apa yang ada saja. Satu lagi ada yang suka makan mi rebus dengan direnjis sedikit kicap lemak. Jika suka pedas boleh hiriskan sedikit cili padi semasa makan, biasaanya hanya guna cili hijau. Sesuai dihidangkan untuk makan petang atau menjamu tetamu yang datang. Jika nak mencuba, che mat tuliskan resipinya di bawah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
400 gram daging tetel, cuci dan toskan*
1 inci halia, hiris*
3 ulas bawang puith, diketuk*
1 camca teh garam*
Air secukupnya*(*disatukan dalam periuk dan rebus hingga daging tetel empuk, ketepikan)
1/4 cawan cili kisar
2 batang serai, diketuk
1/2 inci lengkuas, diketuk
1/2 cawan santan
4 camca besar kacang tanah tumbuk
2 camca besar taucu, dilecek halus
2 liter air rebusan tulang lembu ( atau air biasa)
2 cawan isi keledek oren yang telah direbus dan dilecek halus
2 camca besar penuh serbuk kari daging (baba's)
1 camca besar gula melaka
Gula dan garam secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
10 biji bawang merah kecil
3 ulas bawang puith
1 inci halia
1/4 cawan udang kering, direndam 10 minit dan toskan

BAHAN-BAHAN LAIN :-)
Mi kuning secukupnya (che mat guna mi lidi yang direbus)
Taugeh secukupnya, dicelur dan toskan
Tauhu, digoreng dan hiris
Telur rebus secukupnya, dibelah dua setiap satu
Hirisan daun sup
Hirisan daun bawang
Bawang goreng
Hirisan cili hijau dan cili merah
Limau kasturi secukupnya, dibelah dua

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KUAH MI REBUS :- Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/2 cawan). Satukan bahan2 kisar halus dengan rempah kari, kacau rata hingga menjadi pes. Tumis serai, lengkuas dan cili kisar hingga cili garing. Masukkan pes rempah, kacau rata dan masak hingga naik minyak. Tambah taucu dan gaul rata. Tuang air rebusan daging tetel bersama daging tetel ke dalam periuk. Kacau rata dan biarkan mendidih.
  2. Masukkan air rebusan tulang (atau air biasa), kacau dan masak biarkan hingga menggelegak. Masukkan keledek rebus dan gula melaka, biarkan mendidih dengan api sederhana. Tambah kacang tanah tumbuk, santan dan perasakan dengan garam dan gula secukupnya (biasanya kuah mi rebus rasanya agak manis). Kacau rata dan biarkan mendidih dengan api kecil hingga kuah pekat sedikit, kacau sentiasa. Rasa dan jika ok boleh matikan api.
  3. UNTUK MI REBUS JOHOR :- Masukkan secukup mi ke dalam mangkuk yang sesuai. Tuang kuah secukupnya dan taruk taugeh celur, telur rebus, hirisan cili hijau/cili merah, hirisan daun bawang/daun sup, hirisan tauhu goreng, bawang goreng dan juga belahan limau kasturi. Hidangkan segera...Selamat mencuba!!

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "RESIPI MI REBUS JOHOR"

Posting Komentar