Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat ber'laksa Johor'. Entah kenapa sejak2 ni mengidam yang bukan2. Pantang orang sebut, terus tekak teringin. Tu hari ada yang sebut2 kari betik, rasa nak buat juga, tapi sayang betik pulak takde. Lepas tu ngidam asam rebus peria katak sama ikan pari masin, yang tu in sha Allah esok che mat masak. Tapi hari ni kita laksanakan menu warisan orang2 Johor, iaitu Laksa Johor. Ada banyak versi dan dari sumber2 yang che mat baca, laksa Johor yang asli menggunakan ikan parang dan tak menggunakan kacang panjang sebagai ulam, sebaliknya ditambah lobak asin yang dicincang halus. Makan pulak sudah tentu guna tangan. Tapi untuk foto, che mat taruklah sudu dan garfu, kasi lawa2..
Kali ni che mat guna seekor ikan parang saiz sederhana. Ada yang tanya kat IG tapi macam mana nak asingkan isi ikan parang tu dari tulang dia, almaklumlah ikan parang ni, tulang dia banyak, berselirat. Apa yang che mat buat, ikan tu ku rebus dalam periuk tekanan (pressure cooker) selama 1 jam lebih, yang ini ikut periuk masing2. Lepas tu tulang tengah dia dibuang dan kisar halus isi ikan parang tadi dalam food processor hingga lumat. Tulang2 dalam isi ikan tu semua akan hancur. Tu cara mudah, kalau nak cara rumit kenalah tarik keluar tulang ikan parang satu persatu sampai habis. Selain ikan parang, boleh juga nak guna ikan kembong, ikan selayang@sardine atau ikan tenggiri. Resipi tak banyak beza dari yang lepas2 cuma tang ikan tu che mat gantikan dengan ikan parang, tu saja....
BAHAN-BAHAN KUAH LAKSA JOHOR :-)
1 ekor ikan parang segar (kurang lebih 1 kg)
250 gram isi udang
Isi ikan kurau masin sebesar 3 inci x 3 inci, rendam
4 camca besar udang kering, rendam hingga lembut.
2 camca penuh besar kerisik
1/2 inci lengkuas, dititik
4 - 5 keping asam gelugor
12 biji bawang merah kecil*
2 ulas bawang putih*(*kisar halus)
2 camca besar cili kisar
2 camca besar rempah kari ikan (baba's)
2 camca besar ketumbar serbuk
1 camca besar jintan manis serbuk
2 liter santan segar
1 genggam daun kesom
2 kuntum bunga kantan, belah dua setiap satu
Sedikit daun selasih
Garam dan gula secukup rasa
BAHAN-BAHAN ULAMAN :-)
Taugeh, dibuang ekor, cuci dan toskan
Kacang panjang, dihiris halus
Daun kesom, hiris halus
Daun selasih, hiris halus
Timun, ambil bahagian luar dan buang empulurnya, hiris halus
Bawang besar, hiris halus
BAHAN-BAHAN LAIN :-)
Sambal belacan
Spaghetti, direbus hingga lembut dan toskan, gaul dengan sedikit minyak makan, kemudian di "chap" (dibuat sanggul)
Limau kasturi secukupnya, dibelah dua
CARA MEMBUATNYA :-)
- UNTUK KUAH LAKSA JOHOR :- Satukan rempah kari, ketumbar serbuk, jintan manis serbuk dan bahan kisar halus, kacau rata hingga menjadi pes rempah dan ketepikan. Udang dicelur, asingkan kulitnya, kisar halus, ikan parang direbus, asingkan isi dari tulangnya, kisar isinya dalam food processr hingga halus, udang kering ditoskan, isi ikan kurau masin juga ditoskan dan potong kecil, kisar halus udang kering dan isi ikan kurau masin tadi. Ketepikan.
- Panaskan minyak dalam periuk. Tumis lengkus dan cili kisar hingga harum, masukkan pes rempah dan masak hingga terbit minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa. Tuang santan dan juga stok air rebusan udang dan ikan. Kacau rata. Masukkan isi ikan parang kisar, udang kisar dan udang kering + isi ikan masin kurau kisar. Kacau hingga semua rata dan mesra. Biar mendidih.
- Masukkan kersik, asam gelugor, bunga kantan, daun kesom dan sedikit daun selasih. Kacau dan masak dengan api perlahan selama 45 minit hingga 1 jam. Tambah garam secukup rasa dan gula secukupnya. Masak sekejap lagi, rasa dan jika ok boleh matikan api. Ketepikan.
- UNTUK LAKSA JOHOR :- Ambil secukupnya spaghetti yang telah dichap (disanggul) tadi ke dalam bekas sesuai. Tuang kuah laksa secukupnya, kemudian hias dengan bahan2 ulaman, letak sambal belacan dan juga belahan limau kasturi, hidangkan segera.
CATATAN MAT GEBU :- Kulit udang tadi dikisar dengan air rebusan dan tapis. Ikan parang che mat buang bahagian kepalanya, kendian kerat 4 bahagian dan rebus dalam periuk tekanan selama 1+ jam. Ini akan menjadikan tulang ikan parang lembut seperti sardine dan bila kisar dalam food processor, tulang ikan parang semua hancur. Untuk sambal belacan , che mat tumbuk 5 biji cili merah + 6 biji cili padi + 1 inci belacan yang dibakar harum + secubit garam = tumbuk hingga halus, boleh hidangkan bersama laksa Johor tadi... Selamat mencuba!!..
0 Response to "RESIPI LAKSA JOHOR"
Posting Komentar